GLENEAGLES HOSPITAL MEDINI JOHOR TAJA PELAJAR DIPLOMA KEJURURAWATAN UNISEL BAGI PROGRAM BIASISWA PENUH SELFA-HSP

  • Home
  • GLENEAGLES HOSPITAL MEDINI JOHOR TAJA PELAJAR DIPLOMA KEJURURAWATAN UNISEL BAGI PROGRAM BIASISWA PENUH SELFA-HSP
Shape
Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menandatangani memorandum perjanjian dengan Gleneagles Hospital Medini (GHM) Johor bagi penajaan pelajar Fakulti Sains Kesihatan (FSK) untuk Program Biasiswa Penuh SELFA-HSP.
 
Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di UNISEL Shah Alam menyaksikan Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor menandatangani perjanjian bagi pihak UNISEL disaksikan oleh Pn. Hjh Rokmaa Hj Mat, Pendaftar manakala bagi pihak GHM Johor pula ditandatangani oleh Dr. Kamal Amzan, Ketua Pegawai Eksekutifnya disaksikan oleh Puan Koon Lai Chew, Pengarah Kejururawatan GHM.
 
Menerusi perjanjian ini, pihak GHM akan menyediakan biasiswa penuh SELFA-HSP bagi pelajar-pelajar jurusan Diploma Kejururawatan yang mana keseluruhan yuran pengajian pelajar akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak GHM. Malah, penerima biasiswa juga akan menerima elaun bulanan sebanyak RM500 setiap bulan sepanjang tempoh pengajian serta elaun buku sebanyak RM1000 setahun sepanjang tempoh pengajian.
 
UNISEL juga turut menyediakan beberapa kemudahan kepada penerima biasiwa ini termasuklah kemudahan asrama, dua pasang uniform setahun serta kit kejururawatan secara percuma. Lebih menarik, pelajar yang menerima tajaan ini diberi jaminan pekerjaan di hospital tersebut setelah menamatkan pengajian mereka di UNISEL.
 
Hadir sepanjang majlis adalah Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan & Jaringan Industri) dan Puan Siti Aisyah Omar, Bendahari manakala wakil GHM pula adalah Khairul Annuar Md Yusof, Pengurus Kanan Jualan & Pemasaran, Megan Heng, Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Phoebe Lee, Setiausaha GHM.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
14 Februari 2023