Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu bagi kemasukan Ogos 2023. Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, UNISEL Bestari Jaya itu merupakan kesinambungan bagi Minggu Tekad Siswa Budiman (MTSB) bagi pelajar-pelajar baharu yang mula mendaftar semalam.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan minggu suai kenal bagi pelajar-pelajar baharu dan dikelolai oleh Fasilitator MTS Budiman di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti.
Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucapannya berkata, beliau amat berterima kasih terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelajar serta ibu bapa yang telah memilih UNISEL sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
“Dalam konteks universiti, UNISEL mempunyai tenaga pengajar profesional dan staf yang sangat komited untuk membimbing dan melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah diri, rasional dan mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi serta mampu untuk berdaya saing di masa hadapan”, katanya.
Tambah beliau lagi, sudah pasti ikrar yang dilafazkan oleh para pelajar baharu ini akan membawa pengertian besar buat mereka sepanjang bergelar mahasiwa di sini. Beliau berharap agar para pelajar baharu dapat membanggakan ibu bapa dan keluarga masing-masing dalam mencapai kejayaan serta perbaiki diri supaya menjadi insan yang cemerlang.
Majlis diteruskan dengan lafaz ‘Ikrar Aku Janji Pelajar Kolej Kediaman UNISEL’ dan ‘Ikrar Mahasiswa Mahasiswi Baharu’ sebagai simbolik bergelar mahasiswa UNISEL.
Kepada bakal pelajar di luar sana yang berminat untuk menyambung pengajian di UNISEL, tarikh pendaftaran pelajar baharu pengambilan Ogos 2023 akan dilanjutkan sehingga 1 September 2023.
Pelajar yang berminat boleh terus mendaftar di apply.unisel.edu.my. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang rasmi universiti di www.unisel.edu.my atau berhubung terus dengan Pejabat Pemasaran & Kemasukan di talian 03-55223400 / 018-5714084.