Pertandingan memancing dan aktiviti sukan air menjadi tarikan utama program Hari Keluarga Universiti Selangor (UNISEL) 2018. Program yang berlangsung selama dua hari bermula 3 sehingga 4 Ogos 2018 itu dihadiri oleh lebih 1000 orang staf termasuk keluarga masing-masing.
Bertempat di UNISEL Kampus Bestari Jaya, pertandingan memancing bermula pada petang jumaat menyaksikan hampir 30 orang peserta mengambil bahagian. Manakala aktiviti sukan air seperti paddle boat dan jet ski yang menjadi tarikan utama Hari Keluarga pada tahun ini bermula pada sebelah pagi hari sabtu.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL berkata, program Hari Keluarga ini merupakan acara tahunan universiti. Tujuan utamanya adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan kakitangan universiti.
Beliau yang ditemui semasa majlis perasmian Hari Keluarga UNISEL 2018 turut mencadangkan agar aktiviti kekeluargaan seperti ini lebih kerap dijalankan. Selain dapat mengeratkan hubungan, ia juga dapat merapatkan ukhuwah sesama kakitangan dan ahli keluarga masing-masing.
Penganjuran Hari Keluarga pada tahun ini merupakan penganjuran kali yang ketiga setelah dua edisi sebelum ini iaitu pada tahun 2016 dan 2017 mendapat sambutan yang luar biasa daripada kesemua kakitangan UNISEL.
Pelbagai acara lain turut dipertandingkan sepanjang program antaranya sukaneka keluarga, aktiviti kanak-kanak yang dibahagikan mengikut kategori umur, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan karaoke. Jamuan makan turut diadakan. Program tersebut berakhir dengan upacara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.