Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Selangor (UNISEL) dengan Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MYCP) berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UNISEL Kampus Shah Alam pagi ini.
MYCP merupakan satu organisasi yang memberi sokongan kepada ahlinya dalam bentuk program advokasi, pengumpulan maklumat melalui sesi perkongsian & perbincangan dalam membantu keluarga mendapatkan alatan/kelengkapan OKU seperti kerusi roda dan pelbagai lagi.
Acara menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor disaksikan oleh Pn Hjh Rokma Hj Mat, Pendaftar bagi pihak UNISEL manakala bagi pihak MYCP pula ditandatangani oleh Ybhg. Prof. Madya Dr. Ghazali Yusri Abd Rahman, Presiden MYCP dan disaksikan oleh En. Azam Musaddiq Bin Abd Rahman, Timbalan Presiden MYCP.
Perjanjian persefahaman itu meliputi aspek penting jalinan kerjasama dalam sektor akademik dan penyelidikan disamping penglibatan pelajar UNISEL secara rasmi dalam aktiviti MYCP berpaksi kesukarelawan dan advokasi isu berkaitan.
Tambahan lagi, kerjasama ini juga termasuklah dalam memastikan usaha yang murni dalam mengakar masyarakat menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) ini berjaya dilaksanakan.
Hadir sama En. Mahfizul Rusyidin Abdul Rashid, Pengurus Kanan Bhg. Komunikasi Korporat PKNS merangkap Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor, En. Mohd Faiz Bin Suhaimi, Ahli Majlis Tindakan OKU Negeri Selangor, En. Khairul Anwar Bin Korai, Presiden Alumni UNISEL, Pengurusan Tertinggi UNISEL serta Pegawai-pegawai MYCP.