Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan Majlis Makan Malam bersempena Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-13 dan Anugerah Cemerlang UNISEL 2018 bertempat di Grand Dorsett, Subang. Majlis makan malam tersebut berlangsung bagi meraikan pelajar serta kakitangan UNISEL yang cemerlang sepanjang tahun 2018.
Anugerah Canselor diraih oleh Ng Zheng Jian, graduan Sarjana Muda Kewangan yang menerima wang tunai sejumlah RM5000 sumbangan Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).
Syafika Alya Anua, graduan Sarjana Muda Psikologi Industri pula meraih Anugerah Presiden dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000 sumbangan Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor.
Bagi Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Exco Pendidikan pula diraih oleh Aisha Ahmed Mohamed Motawh, graduan Sarjana Muda Komunikasi Korporat dan Nurul Aqilah Mahmud, graduan Diploma Pendidikan Pengajian Islam. Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2500 sumbangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu kategori Staf Sokongan Terbaik, Staf Pengurusan dan Profesional Terbaik, Staf Penyelidik Cemerlang, Staf Akademik Terbaik, Pusat Tanggungjawab Terbaik dan Fakulti Terbaik. Para pemenang membawa pulang sijil penghargaan, trofi dan wang tunai.
Kategori Staf Sokongan Terbaik telah dimenangi oleh Abdul Wahab Yusop dari Pejabat Pentadbiran dan Sumber Manusia, Abdullah Taufiq Yusof dari Bahagian Keselamatan dan Mislinda Mislan dari Pusat Pengajian Asasi dan Umum.
Bagi kategori Staf Pengurusan dan Profesional Terbaik Bukan Akademik pula dimenangi oleh Noorul Azkhi Mohamad Bajuri dari Pejabat Bendahari, Nor Helwa Sansuri Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti dan Sulaiman Daud dari Pejabat Pentadbiran dan Sumber Manusia.
Manakala bagi kategori Penyelidik Cemerlang dimenangi oleh Dr. Moohamad Ropaning Sulong dari Pusat Pengajian Siswazah, Dr. Lai Long Wee dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat dan Prof. Madya Dr. Maegala A/P Nallapan Maniyam dari Pusat Pengajian Asasi dan Umum.
Seterusnya, bagi kategori Staf Akademik dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Azza Azlina Md Kassim dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Dr Hazzeq Hazwan Azman, Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian dan Umum dan Mohamad Hafiz Rosli dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.
Sementara itu, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan, Pusat Jaringan Komuniti, Aktiviti dan Persatuan Pelajar serta Pejabat Tadbir Urus Korporat dan Jaminan Kualiti memenangi kategori Pusat Tanggungjawab Terbaik manakala Fakulti Perniagaan dan Perakaunan dan Pusat Pengajian Asasi dan Umum terpilih sebagai Fakulti Terbaik.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL berkata, beliau bersyukur meskipun UNISEL merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta, namun UNISEL mampu untuk menjadi pesaing kepada universiti-universiti awam yang lain. Tambah beliau, hal ini adalah kerana sokongan UNISEL mendapat sokongan penuh daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor.
“Dengan transformasi yang sedang dilakukan oleh pihak pengurusan UNISEL, saya mendoakan UNISEL akan terus maju ke hadapan dan menjadi pilihan bukan sahaja pelajar malah ibu bapa. Saya juga berharap agar setiap anugerah yang diberikan ini akan menjadi platform kepada seluruh warga universiti untuk melakar masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang. Semoga kejayaan anda ini menjadi tauladan dan inspirasi kepada rakan-rakan, keluaraga dan masyarakat,” ucap beliau.
Turut hadir pada majlis makan malam tersebut adalah YAD Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Al Haj Raja Tun Uda Al Haj, Canselor UNISEL, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anuar Haji Masduki, Pro-Canselor UNISEL, Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Prof Adjung UNISEL, YB Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB).