YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia hari ini bertemu mahasiswa Universiti Selangor sempena Program Pemuliharaan Bioderversiti: Langkah Kerajaan Demi Kesejahteraan Penghuni Alam.
Program yang berlangsung di UNISEL Kampus Bestari Jaya itu dihadiri oleh lebih 200 orang terdiri daripada mahasiswa dari Pusat Pengajian Asasi dan Umum, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, kakitangan akademik dan pentadbiran.
Intipati perkongsian beliau adalah lebih kepada usaha-usaha kerajaan dalam pemuliharaan biodiversiti selain cara memupuk budaya pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.
Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, kehadiran Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memberi impak perubahan yang besar terhadap usaha melestarikan Tasik Lindungan Burung.
Tambah beliau, UNISEL mengorak langkah memulihara alam semula jadi yang terdapat di sekitar kampus agar segala kemudahan serta aktiviti rekreasi dapat dimanfaatkan mahasiswa bahkan seluruh warga UNISEL serta penduduk sekitar.
Turut berlangsung adalah majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara UNISEL dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan UNISEL dengan HAVVA Agrotech.
Sebelum itu, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dibawa melawat ke Tasik Lindungan Burung UNISEL serta sesi melepaskan anak ikan Baung Kuning sebanyak 5000 ekor dari Jabatan Perikanan Selangor yang terletak di belakang kampus.
Turut berlangsung di tasik tersebut adalah pertandingan memancing tangkap & lepas (catch & release). Peserta terlibat rata-ratanya dari sekitar Selangor. Pertandingan ini yang bermula seawal Jam 7.00 pagi bakal berakhir Sekitar jam 6.00 petang nanti.
Hadir sama sepanjang majlis adalah YB Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Negeri Permatang merangkap Ahli Lembaga Pengarah UNISEL, Datuk Nadzim Johan, Pengerusi PPIM, wakil dari HAVVA Agrotech dan pengurusan tertinggi UNISEL.