Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) dengan kerjasama anjuran Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor dan Selangor Technical Development Center (STDC) hari ini mengadakan majlis perasmian penutup ICT Boot Camp 2022 bertempat di Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya.
ICTBC yang telah memasuki tahun keenam penganjuran bermula pada tahun 2016 merupakan usaha bersama dalam menyalurkan khidmat kepakaran dan kemahiran secara terus kepada para pelajar khususnya dan komuniti setempat. ICTBC 2022 telah melibatkan sebanyak 17 sekolah yang melibatkan PPD Hulu Langat dan PPD Klang, 1 asrama Yayasan Selangor dan 3 IPT.
Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor, beliau menyifatkan ICTBC ini boleh dijadikan contoh di mana pihak kerajaan menggunakan kepakaran dan kemudahan universiti dalam menyalurkan manfaat dari kerajaan negeri kepada rakyat negeri Selangor khususnya memfokus terhadap sektor teknologi pendidikan.
Sehingga kini ICTBC telah melibatkan sebanyak 2625 orang peserta yang melibatkan pelbagai kursus ICT melalui kursus Google Apps, Kursus Pengajaran Interaktif Dalam Talian Menggunakan ICT, Kursus Pembangunan Videografik dan Infografik, Kursus Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Untuk Komuniti dan pelbagai lagi.
Hadir sama semasa program adalah En. Abdul Wahid bin Abdul Mutalip, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pengurusan Maklumat SUK (selaku perasmi), Prof. Madya Ts. Dr. Wan Azlan bin Wan Hassan, Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual & Pengkomputeran (FCVAC), Ts. Dr. Irny Suzila Ishak, Pengarah Program ICTBC 2022 UNISEL, Pn. Norzilawati bt. Md Said, Pengarah Program ICTBC 2022 STDC, wakil pensyarah serta Sekolah jemputan.