Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (IPKSF) dan Institut Darul Ehsan (IDE) menganjurkan Persidangan Serantau Ke-2 “Hidup Bersama di dalam Budaya Damai”. Program berlangsung selama dua hari bertempat di Acapella Suite Hotel Shah Alam.
Dengan tema berkisarkan “Pendekatan MADANI: Mengurus Kepelbagaian di dalam Bingkai Kesatuan”, persidangan turut disertai oleh pembentang dan ilmuwan dari rantau Asia Tenggara antaranya Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina dan Singapura.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL merangkap Pengerusi Eksekutif IDE dalam ucapan perasmiannya menyifatkan persidangan ini sebagai platform terbaik bagi memperbaiki keadaan yang sedia ada kepada yang lebih membanggakan.
Beliau turut memuji usaha yang dilaksanakan dalam menyampaikan konteks MADANI dengan lebih mendalam bagi mendepani kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Persidangan ini merupakan rentetan bagi persidangan siri pertama yang memberi fokus kepada pembinaan kesatuan bangsa dan budaya hidup bersama yang berpaksi kepada kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
Persidangan turut menekankan enam sub tema perbincangan yang meliputi Agama dan Pendamaian, Pengalaman masyarakat Islam Minoriti, Budaya Damai di Malaysia, Toleransi Beragama di Alam Melayu, serta Mengurus Kepelbagaian Dalam Negara Pelbagai Agama dan Cabaran Mengurus Kepelbagaian.
Hari pertama menyaksikan penglibatan beberapa tokoh terkenal sebagai panel antaranya Prof. Dato’ Dr. Mohd Nur Manuty (Malaysia), Prof. Dr. M. Din Syamsuddin, Pengerusi Centre for Dialogue and Cooperation among Civilization (Indonesia) dan Prof. Madya Dr. Sukree Langputeh, Timbalan Rektor Universiti Fatoni (Thailand).
Turut hadir selaku panel pada hari pertama adalah wakil Mufti Kemboja, Sahibus Samahah Tn Hj Kamarruddin Hj Yusuf, Mufti (Kemboja), Prof. Dr. Haslinda binti Abdullah (Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Hamdan Dato’ Mohd Salleh, (Pengarah Institut Kajian Pilihanraya dan Pemajuan Demokrasi UNISEL).
Pada hari kedua pula menyaksikan panel seperti Prof. Dr. Khairudin Aljunied (Universiti Malaya), YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, (Menteri Luar Negeri), Prof. Dr. Abdul Mu’ti, (Seketaris Umum PP Muhammadiyah, Indonesia). Turut hadir selaku panel pada hari kedua adalah Dato’ Hj Ahmad Azam (Presiden WADAH) dan Prof. Madya Dr. Imtiyaz Yusuf dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Di akhir persidangan, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman turut mengucapkan tahniah di atas penglibatan semua dalam menjayakan persidangan kali ini dan mengharapkan agar hasilnya memberi impak yang bermakna bukan sahaja kepada negara Malaysia, tetapi juga kepada serantau agar dapat bersama-sama hidup dalam budaya damai.