Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Perpustakaan UNISEL dengan kerjasama Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) petang tadi mengadakan program I’m a Book, Read Me bersempena dengan Hari Buku Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun.
Program yang diadakan di Sudut Kanak-Kanak, Perpustakaan UNISEL, Kampus Bestari Jaya itu dihadiri oleh para peserta yang terdiri daripada anak-anak staf UNISEL berumur 15 tahun kebawah.
Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucaptamanya, program ini amat bermakna bagi melahirkan anak-anak cinta terhadap buku dan bahan bacaan.
Beliau juga menyifatkan aktiviti membaca dapat mempertingkatkan daya kreativiti serta meningkatkan kemampuan akademik kanak-kanak. Budaya membaca harus sentiasa diamalkan dengan memanfaatkan kemudahan fasiliti yang terdapat di Perpustakaan UNISEL ini.
Di akhir program, sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden dan Naib Canselor di mana semua peserta diberikan sijil penghargaan dan hadiah diberikan kepada penceritaan terbaik iaitu adik Hamiza Syaurah Ahmad Fadilah, adik Muhammad Zaid Afwan Mohd Fairuz dan adik Muhammad Zubair Aiman Mohd Fairuz.
Turut hadir sepanjang program Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Timbalan Naib Canselor Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri, En.Hafiz Abdul Rahim, Ketua Perpustakaan serta para keluarga peserta.