Universiti Selangor (UNISEL) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak Monstercraft Fishing bagi memartabatkan sukan memancing di negeri Selangor, khususnya di The Tomanz
Majlis menandatangani memorandum tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UNISEL Bestari Jaya disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor bagi pihak UNISEL disaksikan oleh Puan Hjh. Rokmaa Hj Mat, Pendaftar.
Di pihak Monstercraft Fishing pula ditandatangani oleh Vincent Gan Chee Hong, Pengarah Monstercraft DV Sport Fishing Malaysia disaksikan oleh David Lee Chuan Yin, Penaung Monstercraft Fishing Malaysia.
Menurut Presiden dan Naib Canselor UNISEL, kerjasama di antara kedua-dua belah pihak ini bukan sahaja untuk menaiktaraf kegiatan ‘eco-sport’ seperti memancing malah bertujuan memulihara Tasik Lindungan Burung UNISEL.
Tambahan lagi, kerjasama ini juga bakal mendukung segala bentuk penyelidikan berkaitan akuakultur dan membuka ruang pihak Monstercraft untuk mengadakan aktiviti “ground test” dan bengkel/klinik memancing.
Dalam majlis yang sama, UNISEL turut menerima kunjungan delegasi Korea iaitu Yang Jae Hyuck (FishingTAG), Kim Jae Kyung (Catsclaw) dan Jackson Lee (GiddyCraft). Ini merupakan kunjungan pertama delegasi tersebut ke universiti ini.
Malah, mereka juga berpeluang untuk melawat dan melihat sendiri keindahan Tasik Lindungan Burung. Lawatan berakhir Sekitar jam 12.00 tengahari dengan keseluruhan daripada mereka berpuas hati dengan suasana yang terdapat di Tasik Lindungan Burung.
Turut hadir, Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) serta barisan pengurusan Universiti. Moga dengan termetrai MoU pada hari ini dapat memartabatkan lagi Sport fishing di Selangor.